Make your own free website on Tripod.com

BERITA ATUR, JILID 4 1997

Dari Meja Pengarang

Bersyukur kepada Allah..bertemu kembali kita di keluaran Berita ATUR. Tanggal 21.6.97 ini genaplah 2 tahun usia penubuhan Kelab ATUR, alhamdulillah..segala penat lelah didalam merealisasikan matlamat kelab hampir tercapai, diantaranya menganjurkan pertandingan memancing, pakaian resmi kelab, XPDC dan sebagainya. Seperkara yang membanggakan ialah cita-cita Kelab ATUR untuk memperkenalkan diri kepada masyarakat kampus akhirnya tercapai jua dimana termuatlah gambar XPDC Sg. Mawai di dalam Akhbar Joran bertarikh 9 Mei 1997. Mungkin bukan setakat diUTM saja, bahkan seluruh Malaysia. Dalam pada itu, baru-baru ini Kelab ATUR terpaksa menggugurkan keahlian 2 orang anggotanya diatas sebab-sebab tertentu. Perlu diingatkan disini sesuatu organisasi atau apa jua bentuk kerjaya, disiplin perlu diutamakan. Semangat belum mencukupi bagi mencapai sesuatu matlamat tanpa ada disiplin diri.

Pembabitan Kelab ATUR didalam aktiviti memancing kini mula mendapat pengiktirafan dimana 3 orang wakil Kelab telah dijemnput oleh Persatuan PERKABA UTM didalam memberi khidmat nasihat didalam menganjurkan Pertandingan Memancing Sempena UlangTahun Ke 25 UTM. Disamping itu Kelab ATUR turut menyambut baik ‘lamaran’ Kelab Memancing "Umpan PSZ’ didalam memberi sumbangan khidmat nasihat didalam pentadbiran Kelab tersebut. Justeru itu saya selaku pengasas Kelab ATUR amat mengharapkan semangat kerjasama serta komitmen dari semua ahli-ahli agar Kelab ini terus menjadi kebanggaan kita. Disini saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua ahli ATUR dan orang perseorangan yang terus memberi sokongan didalam usaha memajukan Kelab ATUR.

 

DAIRI ATUR

  1. 12 Februari 1997 (9.15 pagi) -Tahniah – Sdr. Asram Sulaiman menyambut kehadiran cahayamata ke 2, seorang putera (Muhammad Amirul) semuga ada yang ke3 dan seterusnya.
  2. 15 – 16 Mac 1997 – Karnival ATUR atau lebih dikenali dengan ‘Mawai Challenge 97’ telah diadakan di Sg. Mawai, Kota Tinggi. Karnival yang julung-julung kali diadakan telah disertai seramai 7 orang ahli ATUR.
  3. 12 – 16 April 97 – Sdr. Roslan Ramli telah terpilih mewakili pasukan Memanah UTM didalam kejohanan Memanah Jemputan UUM, di Sintok, Kedah.
  4. 1 – 4 Mei 1997 - 4 ahli ATUR Sdr. Baharuddin,Kamal,Roslan Dan Sdr. Hairuddin telah turut serat didalam Xpdc Kuala Lemakoh (Endau-Rompin).Pengalaman tersebut dikongsi bersama 8 orang rakan dari UTM.
  5. 31 Mei – 5 Jun 97 – 2 orang ahli ATUR, Sdr Abd. Aziz dan Jamaluddin turut serta didalam Xpdc menakluki Gunung Singgalang & Merapi di Indonesia. Semuga selamat pergi dan kembali.

 

BIODATA

Nama : Hairuddin Hj. Kamai

Alamat : Pejabat Bendahari, UTM Skudai

Jawatan : Setiausaha Kerja

Umur : 35 Tahun

T/Lahir : 25 Ogos 62

T/Lahir : Kg. Alai, Melaka

Isteri : Nor Aini Ahmad

Anak : Norlaili Hairani (8), Norsyahirah (6) Muhammad Izzuddin (3)

Hobi : Memancing, Bersukan & Membaca.

Warna : Biru, Merah & Putih.

Makanan : Tenggiri Masak Kari Keling.

Minuman : Teh ‘O’

Prinsip : Apa jua berlaku, hidup mesti tetap diteruskan.

Pengalaman : Xpdc Endau-Rompin (4 hari masuk hutan- makan maggie)

Manis

Pengalaman : Ular Tedung dalam sampan semasa di Sedeli.

Pahit

 

SUDUT WAK HERMAN

Uhlala…untuk kali ini Wak akan mencatitkan nama-nama ‘orang putih’ bagi nama-nama ikan laut pulak. Bukan apa-apa cuma manalah tau, suatu hari nanti kita ke laut antarabangsa mancing sama orang putih lak. Kencang sehhh..Wak akan tumpukan pada jenama ikan yang biasa Wak dan teman-teman Wak daratkan semasa memancing:

Siakap - Giant Seaperch

Gerut-gerut - Lined Silver Grunt

Daun Baru - Spotted Sick Lefish

Sembilang - Striped Sea Catfish

Jenahak - Russell’s Snapper

Merah - Long Spine Sea Bream

Malong - Yellow Pike-Conger

Cermin - Common Ponyfish

Todak - Barned Long tom

Kerapu - Areolated Grouper

 

TIPS KESIHATAN

BAJU – Pemancing mesti mengetahui baju mana yang sesuai untuk tubuh ketika cuaca panas atau hujan ketika hendak keluar memancing. Baju yang cepat serap peluh dan berwarna cerah amat baik bagi mengekalkan suhu badan. Baju lengan panjang dan longgar sedikit dapat memberi keselesaan apabila memancing. Baju lembab dan tidak serap peluh mudah mendatangkan penyakit kulit seperti panau ataupun kurap terutama bagi mereka yang mempunyai alahan kulit.

STOKIN – Stokin bukan sahaja melindungi daripada gigitan nyamuk dan agas tetapi menyerapkan peluh dibahagian kaki. Basuh stokin setiap kali selesai menggunakannya. Stokin yang lembab dan kotor mudah mendapat jangkitan kuman terutama dicelah celah kaki serta kegatalan yang boleh mengakibatkan kaki meleceh dan berkudis.

SELUAR DALAM – Tahukah anda memakai seluar dalam semasa memancing turut menimbulkan masalah? Kiranya berlaku kelembapan akibat hujan ataupun bot/sampan yang sering basah, seluar dalam amat payah untuk dikeringkan. Keselesaan dan tumpuan akan terganggu oleh kerana kegatalan terutama dibahagian punggung. Penyakit kulit yang mengganggu spt. meleceh, kegatalan yang berpanjangan, kudis amat mudah berlaku terutama yang turut mempunyai penyakit alahan kulit.

 

SUDUT TAHUKAH ANDA?

KG. DURIAN BELUKAR – SEDELI

LOKASI – Perjalanan dari UTM mengambil masa hampir 2 jam. Melalui Sedeli Resort, dan sungainya kecil sedikit dari Sg. Mawai.

UMPAN – Cacing Tanah, Udang Kolam dan Cacing Laut.

MASALAH- Sukar menyewa sampan kiranya tiba lewat. Jika tidak kena lubuk, belut yang akan makan umpan. Udangnya jenis Udang Galah Tanah Gambut.

PENDAPATAN- Bergantung kepada faktor air dan cuaca. Biasanya janrang mengecewakan.

KOS – Putara RM 25 – RM 30 seorang.

 

DAPUR ATUR

KERAPU MASAM MANIS

Bahan-bahannya:

600 gm ikan kerapu

½ botol tomato sos

1 biji bawang besar - dimayang

3 biji cili merah - dimayang

3 biji cili hijau - dimayang

1 batang lobak merah (dipotong bulat-bulat)

1.2 sm halia – dimayang

2 biji bawang putih – dititik

Minyak masak & Kacang Peas.

Caranya: Ikan dibersihkan tapi jangan dipotong. Kemudian gorengkan hingga masak. Panaskan sedikit minyak didalam kuali kemudian tumiskan sedikit bawang putih. Masukkan tomato sos, lobak merah,bawang besar,halia,kacang peas,cili merah dan cili hijau serta sedikit air. Bila telah memdidih masukkan ikan kerapu goreng tersebut, garam dan aji-no-moto secukup rasa. Biarkan pekat kemudian bolehlah dihidangkan.

 

SAJAK

JORANKU

Kata-kata indah haruskah ku garap

Dalam puisi ini

Kerana segalanya sudah

Menjadi kabur..

Joranku..Dirimu telah patah

Dan mesinku tercalar digenggaman.

Ahh! Sudahkah kau lupa, kehebatanmu..

Mengikut

Arah arus air cuma

Dan kiranya aku

Bisa hidup seribu tahun lagi

Apakah dalam hidup ini aku masih ada

Kesempatan menikmati tarikan mu…

Entahlah! Semalam aku bermimpi sampanku

Terlantar dimuara

Dari suara camar dapat ku tafsir

Ikan dilaut sedang menangis

Aku amat merinduimu…

Aduhai Ugly Stickku…

 

MUTIARA KATA

  1. Logam diuji dengan api, manusia di uji dengan wang.
  2. Siapa yang kehilangan keberanian, ia akan kehilangan segala-galanya.
  3. Takut itu lebih bahaya dari berperang.
  4. Semua orang ingin umur panjang, tetapi tidak semua mahu disebut tua.
  5. Kematian tiada mengenal waktu.
  6. Nasihat seharusnya di turut bukan untuk dipuji.